Lawati laman Facebook kami untuk mengenali kami dengan lebih dekat!!
Emailkan sebarang pertanyaan & persoalan kepada kami!
Lawati laman Twitter kami untuk mengikuti update terkini kami di twitter!

 MINYAK wangi bagi lelaki adalah identiti mereka. Mereka jarang menukar haruman berbanding wanita yang mempunyai rangkaian wangian yang pelbagai.
Kaum Adam percaya pada satu haruman yang cukup kuat bertindak sebagai simbol kehadiran mereka. Paling banyakpun, lelaki akan menyimpan tiga jenis minyak wangi untuk acara berbeza.
Memilih minyak wangi yang sempurna bagi tubuh anda merupakan proses eksperimen berbentuk peribadi. Ia memerlukan kesabaran namun selepas menemui yang bertepatan dengan selera, ia amat berbaloi.
Saintis minyak wangi bagi Procter & Gamble (P&G) berpangkalan di Geneva, Switzerland, Will Andrews menyatakan bagi mencari haruman yang sesuai, seseorang itu wajar memahami kecenderungan olfaktori (saraf hidu) sendiri.
Pengaruh deria bau telahpun wujud dalam diri sejak individu itu dilahirkan. Faktor ini mendorong seseorang menggemari bau yang telah sebati dengan diri. Tambah Andrews, sesiapa sahaja perlu membeli minyak wangi yang disukai secara telus dan bukan dipengaruhi pujukan jurujual atau cuba mengikuti trend.
"Ketika anda mencuba haruman di kedai minyak wangi, anda akan mengetahui sama ada ia sesuai atau tidak. Pastikan ia disembur pada kulit sendiri daripada menghidu pada kertas yang diberi jurujual kerana kesannya mungkin berbeza.
"Mereka yang baru berjinak-jinak dengan minyak wangi disarankan membeli haruman berdasarkan personaliti diri. Pertama sekali cari jenama yang digemari dan dipercayai. Selepas itu, pencarian minyak wangi berpandukan personaliti bermula.
"Individu yang arif tentang minyak wangi sudah tentu memiliki haruman kegemaran dan percubaan menukar minyak wangi pasti dipengaruhi kecenderungan deria terhadap bau yang terdapat pada minyak wangi terdahulu. Kenal pasti kandungan haruman baharu bagi mencipta kelainan," ujar Andrews.
Alergi
Sementara itu, sekiranya anda bersin serta-merta selepas menghidu minyak wangi, jangan anggap ia sebagai alergi kerana ia hanya respons deria kepada reseptor hidung untuk sementara.
Jelas Andrews, alergi haruman selalunya melibatkan ruam pada kulit. Bagi mengenal pasti kandungan apa yang menyebabkan masalah itu, lakukan ujian kulit.
Berdasarkan keputusan ujian, anda boleh mengelak daripada membeli minyak wangi yang mengandungi bahan yang sama. Berbeza pula dengan bau badan, lelaki yang mengalami permasalahan itu perlu mengerti bahawa minyak wangi bukan alternatif bagi menutup kelemahan tersebut.


BAGI mengekalkan haruman yang berpanjangan semburkan ia pada kot, lengan atau rambut.



"Minyak wangi berfungsi sebagai produk kecantikan dan memberi si pemakai kelebihan untuk beremosi, sama seperti aksesori mewah yang lain.
"Jejaka yang berdepan dilema bau badan boleh mencuba haruman jenis oriental kerana kandungan kompleks yang disediakan minyak wangi ini dapat membantu mereka," tutur Andrews.
Tiada faktor usia
Menyentuh soal cita rasa minyak wangi berdasarkan usia pula, Andrews menyifatkan subjek itu tidak pernah wujud. Kata beliau, kesukaan haruman tidak dibatasi usia dan pengelasan minyak wangi berdasarkan umur hari ini dilakukan sendiri oleh masyarakat.
Contoh ketara ialah wangian sitrus dan kayu-kayan yang sering dilabelkan untuk jejaka berusia yang bersifat matang manakala minyak wangi energetic tertumpu pada lelaki muda.
Seorang lagi saintis P&G yang berpangkalan di Singapura, Mimi Kumar menasihatkan agar seseorang itu menyembur wangian pada jarak enam hingga tujuh sentimeter (cm) daripada kulit. Mitos bahawa tidak boleh menggosok minyak wangi selepas disembur juga boleh diaplikasi kerana kaedah itu tidak merosakkan tekstur wangian tersebut. Ia sebaliknya membantu membebaskan bahan peringkat atasan (top notes) lebih pantas.
"Bagi membuatkan haruman bertahan lama, semburkan minyak wangi pada sesuatu seperti kot, lengan atau rambut.
"Jika anda menggunakan haruman jenis eau de toilette (EdT), sembur setiap enam jam bagi mengembalikan bau. Kalau mahu menukar haruman, pastikan anda mandi terlebih dulu bagi mendapat kesan terbaik," jelas Mimi.
Kandungan minyak
Lelaki juga perlu bijak membezakan wangian berdasarkan kandungan minyak. Industri haruman menggunakan terma Eau Fraîche atau Eau de Cologne (EdC), EdT dan Eau de Parfum (EdP) yang diklasifikasikan mengikut kandungan minyak pada produk akhir.


GOLONGAN lelaki percaya pemilihan minyak wangi yang ideal membantu menyerlahkan identiti mereka.



Eau Fraîche atau EdC mengandungi lima hingga lapan peratus minyak, EdT dengan lapan hingga 12 peratus manakala EdP mencatatkan minyak tertinggi iaitu 18 hingga 25 peratus.
Baki peratusan dalam wangian tersebut ialah pelarut (selalunya etanol) bersama kuantiti kecil air.
Peratusan minyak yang rendah bagaimanapun cukup mencipta satu haruman yang kuat. Ujar Mimi, kesemua jenis minyak wangi direka dengan bau yang sama. Bezanya, hanya amaun minyak dan kekuatan harumannya.
"Apabila memilih minyak wangi, kaji keseluruhan haruman terlebih dahulu agar ia mampu memenuhi keinginan diri. Kebanyakan wangian lelaki terutama dalam kumpulan sitrus dan aromatik lebih tertumpu pada kandungan minyak yang rendah seperti EdT.
"Lelaki yang menggunakan wangian sebagai rejimen harian mahukan bau yang tidak terlalu menyerlah dan cukup sekadar menyenangkan diri dan orang sekeliling. Mereka tidak mahu haruman yang dipakai melampaui batas deria bau," tutur Mimi ketika ditemui pada majlis pengenalan haruman terbaharu Hugo Boss, Boss Bottled. Sport. (BBS) baru-baru ini.
Sementara itu, model lelaki ternama negara, Wilson Tan beranggapan bahawa minyak wangi penting dalam membentuk keyakinan dan membebaskan ekspresi dalaman seorang lelaki.
"Saya pakai minyak wangi mengikut kesesuaian majlis dan mood. Haruman buah-buahan dan flora menjadi kesukaan kerana ia lebih lembut dan menenangkan.
"Setakat ini saya mempunyai lebih lima wangian kegemaran dan setiap haruman tidak mempunyai bau yang terlampau kuat," ujar Wilson yang melihat minyak wangi sebagai bau signatur seseorang jejaka.



~sumber kosmo~ oleh Oleh ALIF ABU BAKAR

Categories: